Tuesday 21 January 2014

Kelantan bantu lebih 9,300 OKU sejak 2010

KOTA BHARU: Sejak 2010 sehingga tahun lepas kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan diberi dalam bentuk bantuan bulanan kepada 9,331 OKU.

“Ini secara jelas menggambarkan kerajaan Kelantan tidak pernah menyisihkan golongan berkenaan. Malah kerajaan negeri mempelbagaikan usaha murni untuk kebajikan mereka.

“Kita juga setiap tahun meraikan golongan OKU pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri, di samping mengadakan bengkel ibadah OKU,” katanya pada sambutan Hari OKU Peringkat Negeri di sini hari ini.

Hadir sama pada program julung kali diadakan itu anggota Exco, Dr Ramli Mamat, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar, wakil-wakil rakyat, Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Zainiah Halim.

Selain itu Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyrakat, Norazman Abdul Manaf dan Yang Dipertua Majlis Persefahaman Persatuan OKU Kelantan, Mohamad Faizal Yusof.

Mumtaz juga berkata, usaha lain dilaksanakan termasuk melantik Penyelaras Pembangunan OKU Negeri, Skuad Kita Cakna membantu OKU terlantar dan program Takaful Ihsan berkelompok.

Beliau turut mengingatkan masyarakat tidak mengasingkan golongan OKU kerana mereka sebahagian daripada anggota masyarakat yang wajib disantuni.

“Mereka yang mengejek OKU merupakan orang yang tidak berilmu. Malah perbuatan mereka itu seolah-olah menghina Pencipta-Nya,” ujarnya.

Sementara itu Naib Johan Program Realiti TV ‘Adik-Adikku’ musim pertama 2010, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi diberi Anugerah Khas OKU berdasar kecemerlangan dan pencapaiannya sempena program berkenaan.

Beliau mengungungi beberapa anugerah peringkat negeri dan kebangsaan sejak 2010 sehingga akhir tahun lalu. Qayyim pernah muncul Johan Tilawah Al-Quran Braille 2011-2012.

Selain ituj johan Majlis Tilawah al Quran Peringkat Negeri kategori sekolah menengah. Manakala Allahyarham Mat Darus Sulaiman atau M Hayat pula disampaikan Anugerah Khas Tokoh Aktivis OKU.

Allahyarham yang cacat penglihatan aktif dalam bidang penulisan khususnya skrip drama radio dan puisi sekitar tahun 1970-an. Allahyarham meninggal dunia 11 Disember lalu.

Kerajaan negeri juga menyampaikan anugerah kepada empat lagi tokoh OKU iaitu Tokoh Atlit OKU, Sharifah Raudzah Syed Akil, Razani Ramli (Tokoh Aktivis OKU), Mohd Rajuna Yahya (Tokoh Usahawan OKU) dan Amy Suzaimi Mohd Ainuddin (Tokoh Akademik OKU).

Mumtaz turut menyampaikan cenderahati kepada pelajar OKU cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

No comments:

Post a Comment